Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata UMNO kesal dengan tindakan akhbar Nanyang Siang Pau yang menggambarkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai monyet.

Menurut Rauf, tindakan itu seolah-olah menghina kedua-dua individu tersebut berikutan Usul Persendirian Abdul Hadi iaitu pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa jenayah) Akta 355 yang dibentangkan pada Khamis lalu.

“Harus diingat bahawa batas untuk menghormati mana-mana parti politik. Kita kena hormati perjuangan parti masing-masing. Soal sokongan (kepada RUU355) atau tidak daripada mana-mana ahli parlimen adalah terserah kepada parti masing-masing.

“Seharusnya akhbar berkenaan melihat sensitiviti masyarakat negara ini yang hidup berbilang kaum. Kita kena beri penghormatan, jangan dihina dengan tersiarnya karikatur monyet tersebut,” kata Rauf.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Hari Ulangtahun UMNO ke-71 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, kartun di dalam akhbar berkenaan, Nanyang Siang Pau telah menyamakan Pandikar Amin dan Abdul Hadi sebagai monyet yang lari meninggalkan sebuah pokok.

Tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai penangguhan oleh Pandikar yang dibuat beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menangguhan perbahasan pindaan RUU355 ke sidang akan datang.

Dalam kartun berkenaan juga turut memaparkan beberapa tulisan Mandarin yang dipercayai mengambarkan situasi pada sesi Dewan Rakyat Khamis lalu dengan tertera angka 355.

Bagaimanapun, Nanyang Sia Pau hari ini memohon maaf ekoran penyiaran kartun monyet memakai serban yang disiarkan mereka pada 8 April lalu.

Menurut satu kenyataan, syarikat itu memohon maaf kepada Pandikar Amin dan Abdul Hadi serta segala masalah yang timbul daripada kartun yang tidak wajar tersebut.

“Walaupun mereka sudah memnita maaf namun perkara ini tidak seharusnya berlaku,” kata Rauf. – Malaysia Gazette