APABILA kita didapati mengandung perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah di manakah akan melakukan pemeriksaan berkala.

Ada yang mahu mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, ada juga yang mahu ke pusat perubatan atau klinik swasta.

Walaupun begitu anda sendiri harus tahu apakah yang hendak dilihat – seperti tanda-tanda komplikasi mengandung.

Antara penyakit-penyakit yang biasa dihadapi oleh ibu mengandung ialah darah tinggi.

Tanda-tandanya ialah tekanan darah diastolik sama atau lebih dari 90 mmHg dengan atau tanpa oedema (bengkak), air kencing mengandungi albumin dan pertambahan berat badan yang berlebihan.

Komplikasi darah tinggi yang paling bahaya kepada ibu dan bayi ialah sawan (Eclampsia). Antara tanda-tanda Impending Eclampsia (akan mendapat sawan) ialah seperti loya-loya/muntah, sakit ulu hati (epigastric pain), penglihatan menjadi kabur dan pening kepala yang berterusan.

Anda mungkin menghidapi diabetes iaitu diabetes semasa mengandung (Gestational Diabetes) jika air kencing mengandungi gula, mempunyai tanda-tanda penyakit diabetes, ada kalangan ahli keluarga anda yang menghidap diabetes, anda pernah menghidap diabetes semasa mengandung yang lalu, obes (berat badan lebih dari 80kg), anda pernah melahirkan anak yang beratnya lebih dari 3.5 kg atau mati di dalam perut/lahir mati, keguguran yang berturut-turut (recurrent abortion) atau jangkitan di kemaluan (recurrent monaliasis) yang berulang.

Tanda yang seterusnya adalah kurang darah (anaemia) semasa mengandung iaitu satu keadaan yang mana sel darah merah darah adalah rendah. Paras haemoglobin kurang dari 10gm% dengan tanda-tanda pucat, senang letih.

Kadang-kadang anda mengalami pendarahan semasa mengandung.

Antara sebab-sebab pendarahan semasa mengandung ialah uri menutupi pintu rahim (placenta previa) atau uri terpisah dari dinding rahim (Abruptio Placenta) samada secara perlahan atau tiba-tiba disebabkan tekanan darah tinggi/terjatuh/tercedera atau jangkitan/kanser dipangkal rahim/faraj.

Tanda-tandanya ialah keluar darah melalui kemaluan samada secara sedikit/ banyak dengan tiba-tiba, pucat dan letih, dan sakit perut yang berterusan.

Jika pendarahan beriaku dengan banyak dan secara tiba-tiba, denyutan nadi menjadi cepat dan tekanan darah rendah.

Ibu dan bayi mungkin akan meninggal dunia jika lambat mendapat rawatan yang sewajarnya.

Semasa mengandung juga kaum ibu senang menghidapi jangkitan seperti jangkitan salur kencing – antara tanda-tandanya adalah sakit semasa kencing, demam dan sakit dibahagian ari-ari
Jangkitan seterusnya yang kerap dihidapi ialah jangkitan pada kemaluan. Antara tanda-tanda ialah datal dikemaluan, discaj yang berlebihan dari kemaluan dan berbau busuk.

Kaum ibu juga harus mengetahui penyakit perubatan, termasuk asthma, sakit Jantung, kanser, buah pinggang dan penyakit-penyakit lain.

Wanita yang mengetahui mereka menghidapi penyakit-penyakit di atas dan penyakit perubatan yang lain, perlu mendapat khidmat kaunseling (Pre-pregnancy counselling) dari pegawai perubatan yang berkenaan sebelum merancang untuk mengandung.

Rawatan rapi perlu diberikan sepanjang tempoh mengandung dan iIbu-ibu perlu mematuhi segala arahan yang diberikan oleh doktor yang merawatnya.

Yang terakhir yang harus diketahui adalah bila berlaku tumpah darah semasa atau selepas bersalin.

Antara tanda-tandanya ialah kehilangan darah yang banyak semasa/selepas bersalin (melebihi 500 ml), ibu menjadi pucat, letih dan tidak bermaya, tekanan darah menjadi rendah dan denyutan nadi menjadi cepat serta kemudiannya menjadi perlahan jika pendarahan berterusan.

Jadi ia berlaku, PERDIM menasihatkan agar anda tidak mengambil ringan masalah yang boleh dihadapi semasa mengandung.

Dapatkan nasihat doktor secepat mungkin jika tanda-tanda seperti diatas terjadi pada anda.

Begitu juga kepada doktor-doktor yang berkhidmat haruslah memastikan anda mengetahui dan sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang bagaimana bertindak jika pesakit datang kepada anda dengan tanda-tanda komplikasi semasa mengandung.

Mengikut data kematian perinatal iaitu kematian bayi semasa mengandung di Malaysia masih keadaan baik dan terkawal namun sedikit meningkat dengan kehadiran pendatang asing.

Jadi semua pengamal perubatan harus bersedia menolong mereka agar kadar kematian sentiasa rendah walaupun dengan kehadiran mereka.

Bagi memantapkan lagi demi untuk mengekalkan kadar kematian perinatal Perdim telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan satu seminar untuk doktor-doktor swasta meningkatkan
ilmu dalam hal diatas pada bulan Mei ini di Hotel Dorsett Putrajaya.

Di harap selepas menghadiri seminar tersebut kita akan sama-sama meningkatkan pengetahuan demi kesejahteraan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan terbaik daripada semua pengamal perubatan di Malaysia.

Norzaidi-baharu
Penulis artikel di atas adalah Dr Norzaidi Zakaria, Biro Media Perdim