Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar berkata, tidak ada sebab mengapa beliau harus menarik balik kenyataannya berhubung peruntukan untuk kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan kerajaan Tempatan itu berkata, tindakan beberapa pemimpin pembangkang mendesaknya supaya menarik balik kenyataan itu atau berdepan dengan tindakan mahkamah, disebabkan mereka tidak tahu apa yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Mana ada pemimpin pembangkang mohon projek dari Kerajaan Persekutuan untuk rakyat mereka? Tidak ada. Yang ada hanya ceramah dan menghasut rakyat. Kebajikan rakyat diabaikan.

“Selepas itu, apabila kita bercakap mengenai peruntukan untuk kawasan Parlimen di bawah PBT, mulalah mereka tidak faham dan timbulkan pelbagai persepsi,” katanya menjawab tuduhan Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming di sini, semalam.

Menurut Noh, apa yang diperkatakannya kelmarin adalah agihan peruntukan untuk projek BP 1 2017 yang diberikan mengikut permohonan projek dari Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melalui PBT masing-masing.

Setiap PBT pula, kata beliau, mempunyai dua, tiga atau lebih kawasan Parlimen sebagaimana Majlis Perbandaran Taiping (MPT) ada tiga kawasan Parlimen. Agihan peruntukan untuk projek kecil bawah RM1 juta ini perlu dirujuk melalui PBT berkenaan.

“Projek BP 1 ini hanya boleh dibelanjakan di kawasan PBT dan juga Majlis Perbandaran di seluruh negara. Ada sebanyak 148 PBT dan satu-satu PBT ada pula terdapat beberapa kawasan parlimen.

“Ada satu PBT ada empat kawasan Parlimen. Kalau kawasan Majlis Perbandaran lagi banyak kawasan Parlimen. Macam di kawasan saya ada dua Parlimen iaitu Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

“Dalam pengagihan peruntukan ini saya telah meminta Ahli Parlimen BN supaya merujuk dan melihat permohoan mereka yang telah diluluskan di PBT berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu telah diluluskan kepada PBT berdasarkan permohonan projek yang telah dimajukan yang dimohon oleh PBT sejak tahun lepas.

Bagaimanapun, kata Noh, permohonan PBT itu ada yang diluluskan dan ada yang tidak dapat kelulusan iaitu bergantung kepada projek yang dimohon.

“Sebab itu, saya mengarahkan Ahli Parlimen BN pergi melihat semula permohonan projek yang dimohon oleh PBT kepada kementeriannya supaya mereka tahu.

“Wakil rakyat pembangkang mana pernah minta projek, mana pernah buat permohonan? Lepas itu mereka buat fitnah kononnya kerajaan tidak bantu mereka.

“Sebagai contoh, di kawasan Kor Ming saja berjuta ringgit saya luluskan kepada MPT. Dia tidak pernah pergi ke MPT untuk tahu status projek Kerajaan Persekutuan. Dia hanya sibuk berceramah dan menghasut rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette