Tony Pua
Tony Pua

KLANG – Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menafikan parti pembangkang itu telah memberi lampu hijau kepada pemimpin wanita DAP Klang, S. Pushpaneela untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Tony sebaliknya menggambarkan tindakan Pushpaneela yang menamakan diri sendiri melalui laman Facebook sebagai tindakan “syok sendiri” kerana DAP belum memutuskan calon untuk kawasan tersebut.

“Tindakannya tidak lain seperti sendiri buat, sendiri syok, dia juga melanggar disiplin parti.

“DAP negeri akan memanjangkan perkara ini kepada Lembaga Disiplin DAP Pusat untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pushpaneela yang mengumumkan diri sebagai calon DAP untuk DUN Kota Alam Shah melalui laman Facebook.

Tony berkata, individu yang berminat untuk bertanding dan menggunakan kaedah Pushpaneela untuk mencalonkan diri adalah sama dengan “memotong jalan sendiri” dan akan kehilangan peluang untuk bertanding.

Beliau juga menyeru supaya mereka yang berminat untuk bertanding supaya berusaha menunjukkan prestasi kepada parti.

“Masing-masing masih boleh menunjukkan prestasi kerana kami masih belum ada senarai awal untuk calon.

“Kami akan membuat pengumuman sewajarnya apabila tiba waktu yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette