Khalid Al Falih berucap pada perasmian Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pemotongan pengeluaran minyak dunia dijangka diteruskan pada separuh kedua tahun ini dan tidak mustahil ia akan diteruskan dalam tempoh yang lebih panjang berikutan ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih berkata, berdasarkan rundingan yang dibuat bersama ahli-ahli Negara Pengeksport Minyak (OPEC), beliau yakin lebihan bekalan akan berterusan seterusnya menyebabkan mereka terpaksa memanjangkan tempoh pemotongan bekalan bagi menstabilkan harga minyak dunia.

“Berdasarkan perbincangan dengan ahli-ahli yang menyertai OPEC dan bukan OPEC, saya yakin perjanjian pemotongan pengeluaran akan diteruskan ke separuh kedua tahun ini dan tidak mustahil lebih daripada itu.

“Pakatan pengeluar minyak akan melakukan apa sahaja untuk menjadikan paras simpanan minyak kembali kepada paras purata lima tahun,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 di sini hari ini.

Tambah Khalid, meskipun terdapat kebimbangan di antara ahli-ahli OPEC terhadap peningkatan pengeluaran minyak Amerika Syarikat yang mampu mengugat rancangan pengurangan bekalan, beliau yakin perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Tidak kiralah berapa besar perkembangan minyak syel Amerika Syarikat, saya tidak fikir ia boleh menjejaskan pasaran,” katanya.

Khalid juga menjangkakan pasaran minyak global mempunyai masa depan yang cerah dan akan kembali pulih ke paras yang lebih sihat tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin semasa sidang medianya berkata, syarikat minyak negara itu akan terus mematuhi apa jua perjanjian yang telah dipersetujui bersama OPEC, termasuk meneruskan pemotongan bekalan sehingga 20,000 sehari bagi menstabilkan harga minyak mentah global. – MalaysiaGazette