Suasana di tapak pembinaan Projek Menara PNB118 di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 OKTOBER 2016

Kuala Lumpur – Kerancakan aktiviti pembangunan telah mendorong lonjakan gaji untuk pengendali kren profesional yang boleh mencecah RM18,000 sebulan.

Presiden Persatuan Kren, Wang Zhen Cai berkata, sektor pembinaan menawarkan gaji yang menarik kepada pengendali kren profesional yang mampu mengendali kren dengan kapasiti 500 tan ke atas.

Katanya, gaji ditawarkan adalah lebih lumayan berbanding siswazah baharu yang mungkin memperoleh gaji sekitar RM3,000 sebulan sahaja.

Nanyang Siang Pau melaporkan, berlainan dengan kerjaya tertentu, mereka yang ingin menjadi pengendali kren tidak perlu mempunyai kelayakan akademik universiti atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berbanding tempoh pengajian di universiti, kursus latihan untuk pengendali kren adalah lebih pendek tetapi mementingkan praktikal.

“Dengan mengumpulkan pengalaman yang secukupnya, pengendali kren dengan kapasiti 500 tan ke atas mampu merai gaji sehingga RM18,000 sebulan.

“Walaupun menawarkan gaji yang tidak kurang lumayannya, tetapi rakyat pelbagai kaum di Malaysia masih kurang berminat terhadap kerjaya ini,” kata Zhen Cai.

Menurutnya kelibat kren boleh dilihat di setiap tapak binaan dan ia menandakan prospek baik dalam kerjaya itu.

“Selagi sektor pembinaan mengekalkan momentumnya, maka pengendali kren pasti dapat menerima manfaat,” katanya.

Zhen Cai juga yakin dengan masa depan sektor pembinaan Malaysia memandangkan pelbagai projek besar akan mengambil tempat pada 10 tahun akan datang.

Terdapat hampir 1,000 syarikat yang menyewakan kren pada masa ini.

Pengendali kren perlu mengambil beberapa kursus dan pekerja asing adalah tidak dibenarkan untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Mereka yang tidak mempunyai kemahiran profesional dan pengetahuan asas juga tidak boleh menjadi pengendali kren,” kata Zhen Cai. – MalaysiaGazette