KUALA LUMPUR – Pakar komputer bimbang penyebaran virus Ransomware WannaCry tidak berkesudahan kerana virus tersebut dengan mudahnya dapat ‘dicetak rompak’ oleh pihak lain untuk melancarkan serangan yang berbentuk penipuan.

Pengurus Besar Webroot Malaysia, Liu Kai Ren berkara, virus WannaCry hanya melibatkan rekaan yang ringkas dan pihak lain boleh membangunkan WannaCry 2.0 untuk tujuan yang tidak baik.

Katanya, virus berkenaan dapat diubah suai melalui tiga cara bagi melancarkan serangan yang bertujuan untuk melakukan penipuan.

Menurutnya, mangsa yang terkena virus WannaCry ‘cetak rompak’ dinasihatkan tidak melakukan bayaran kerana wang tersebut tidak akan sampai kepada penyerang asal.

“Ini merupakan virus yang diduplikasi dan adalah palsu, jadi jangan melakukan bayaran,” katanya kepada China Press.

Ransomeware WannaCry dilaporkan menyerang pengguna pelbagai negara dengan mengunci akses kepada maklumat dalam komputer. Pengguna yang ingin akses semula kepada data mereka perlu menjelaskan sejumlah duit pampasan.

Kai Ren menasihatkan pengguna supaya menjauhi laman web yang mencurigakan selain mengemas kini perisian antivirus dalam komputer.

“Perisian komputer sendiri juga perlu dikemas kini selain elak daripada menggunakan peralatan MP3 yang asal-usulnya tidak diketahui,” katanya.

Pakar komputer itu juga menggalakkan pengguna komputer melakukan salinan untuk dokumen-dokumen penting.