Pelakon, Mat Over ketika ditemubual pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50 ) bersama Segmen Penggiat Seni (Budayawan) di Seri Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Pelakon Mat Over memberitahu dia melempang David Teo di depan Perdana Menteri kerana penerbit itu bersikap kurang ajar dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mat Over atau nama sebenarnya, Sulaiman Yassin berkata, Perdana Menteri memanggil anak seni dalam majlis dialog sebagai bukti beliau menghormati golongan itu dalam arus pembangunan negara pada masa akan datang.

Namun jelasnya, David Teo hadir ke majlis itu dengan tidak menghormati Najib dan juga moderator, Datuk Rosyam Noor.

“Dia sanggah dan itu sifat yang kurang ajar dan tidak berbahasa. Kita satu Malaysia dan saya tidak pandang saya Melayu dan dia Cina.

“Saya pandang kita kena hormat Perdana Menetri, mana-mana pergi kena hormat tuan rumah dan tidak perlu bersikap kurang ajar. Itu yang saya tidak boleh kawal perasaan

“Sekurang-kurang kita bagi pengajaran kepada David dan jangan kurang ajar lagi.

“Tuan rumah adalah Perdana Menteri dan majlis itu disiarkan secara langsung di laman sosial,” katanya.

Dia diminta mengulas tindakannya melempang David di hadapan Perdana Menteri pada majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana sini semalam di hadapan Najib dan isteri, Datuk Seri Rosmah Mansor.

Mat Over menambah, David sebelum ini pun pernah mengutuk allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang banyak berjasa kepada industri seni negara.

“Saya tahu dia produser tapi produser yang buat duit namun industri seni ini halus,” katanya.

Ditanya keadaan yang berlaku di luar dewan selepas dia dan David dibawa keluar, Mat Over berkata, mereka dipisahkan ke sudut berlainan oleh urusetia agar keadaan tidak menjadi lebih tegang.

Diminta menjawab sama ada tindakannya itu keterlaluan, Mat Over tidak berfikiran begitu.

“Kalau orang yang fikir panjang, tindakan itu tidak keterlaluan kerana David tidak hormat tuan rumah.

“Kita sebagai rakyat Malaysia diajar oleh ibu bapa agar jangan kurang (ajar) dan orang yang kurang ajar kena ajar dengan cara kurang ajar juga.

“Tapi akibat insiden itu, saya dapat peluk Perdana Menteri. Bukan senang nak peluk pemimpin negara dan bermaafan di depan beliau.

“Namun saya tidak kesal dengan apa yang saya buat kerana saya fikir dulu. Lagi pun benda yang buat itu untuk peringatan dia,” katanya. – MalaysiaGazette