HONG KONG – Cathay Pacific akan mengurangkan hampir 600 pekerja dalam penstrukturan terbesar oleh syarikat dalam tempoh 20 tahun.

Pengurangan itu melibatkan 190 orang kakitangan pengurusan dan 400 pekerja lain di ibu pejabatnya di Hong Kong.

Langkah pengurangan itu adalah program tiga tahun selepas merekodkan kerugian.

Pada Mac lalu, Cathay Pacific berkata, syarikat penerbangan itu akan berjimat 30 peratus dalam kos pekerja selepas merekodkan kerugian pada tahun pertama dalam tempoh lapan tahun.

Dalam kenyataan di sini, Cathay Pacific berkata, proses pengurangan itu dijangka selesai akhir tahun ini dan kebanyakan pekerja terlibat dimaklumkan mulai hari ini dan bulan depan.

Cathay Pacific berhadapan dengan persaingan sengit daripada syarikat penerbangan China dan Timur Tengah yang berkembang pesat di rantau Asia Pasifik.

Cathay Pacific mencatatkan kerugian bersih HK$575 juta bagi tahun lalu. Syarikat penerbangan itu merekodkan kerugian penuh sebanyak tiga kali dalam tempoh 70 tahun. – MalaysiaGazette