Khairul (baju merah) dimarahi pegawai KPRK.

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa hari insiden tampar melibatkan David Teo dan Mat Over menjadi perhatian kini giliran Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan, Khairul Nizam Abd. Ghani pula ditampar dan tular dalam media sosial.

Khairul dalam kenyataannya mendakwa ditampar oleh orang kuat Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK) dalam satu pertemuan di ibu pejabat syarikat perumahan itu semalam.

Pegawai terbabit juga dikatakan seorang pimpinan Pas di negeri berkenaan.

Terdahulu, Khairul bersama dua pembeli rumah terbengkalai di bawah projek syarikat tersebut untuk membuat aduan di pejabat KPRK.

“Namun, ketibaan mereka disambut dengan satu tamparan oleh N** S**man (orang kuat KPRK) kerana cubaan PSM Kelantan ‘mengganggu’ urusan dalaman dan luaran syarikat perumahan berkenaan.

“Bila sampai di meja penyambut tetamu, kita bagitau nak jumpa bos mereka. Sebelum ini pernah jumpa beberapa kali, tiada masalah. Untuk kes aduan yang ini, kes aduan pun ada progress oleh N** S**man.

“Apabila dia keluar, saya seperti biasa bagi salam, hulur tangan bersalaman dan bagitau tujuan kedatangan. Tiba-tiba dia tampar. Kemudian seorang dipercayai pengawal peribadinya turut meluru.

“Saya ada banyak pengalaman bab ini. Saya bimbang jika mereka bersenjata. Maka, terjadilah pergelutan sehingga cermin pecah dan pintu rosak,” ujar Khairul dalam kenyataaannya.

Selepas berlaku pergelutan antara Khairul dan pegawai KPRK bersama pembantunya, pihak pengurusan syarikat tersebut bagaimanapun mengeluarkan notis amaran kepada dua pembeli tersebut.

Antara kandungan notis berkenaan termasuklah amaran agar pihak pembeli tidak mencampuri urusan kerja pihak syarikat berkenaan projek perumahan yang melibatkan mereka.

Pihak pembeli juga diingatkan supaya mematuhi ‘perjanjian’ jual beli yang telah ditandatangani sebelum ini.

Justeru, dalam waktu yang sama melalui surat amaran tersebut, pihak pengurusan KPRK juga mahu membatalkan pembelian rumah kedua pengadu tersebut namun tidak dinyatakan sama ada membayar balik atau tidak duit pembayaran daripada pembeli tersebut.

Khairul membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, Khairul memaafkan pegawai KPRK yang mengasarinya atas dasar kemanusiaan namun aduan mengenai pembeli rumah tetap diteruskan PSM Kelantan.

Sementara itu, melalui semakan melalui forum-forum atas talian berkenaan syarikat perumahan tersebut, MalaysiaGazette mendapati syarikat pemaju tersebut terpalit dengan pelbagai masalah sejak tahun 2011.

Status organisasi itu juga mengalami perubahan daripada koperasi kepada syarikat sahaja pada masa ini ekoran kemelut yang melanda organisasi tersebut.

Antara yang dibincangkan dalam forum-forum tersebut juga termasuklah mekanisme penjualan rumah daripada organisasi itu yang mencurigakan pembeli. – MalaysiaGazette