Datuk Seri Vida yang mempamerkan kehebatan bertutur dalam Mandarin telah berjaya mencuri segala tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada artis.

SHAH ALAM – Kemunculan pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Vida di majlis penyampaian hadiah untuk Golden Awards telah mencuri sinaran artis pemenang termasuk pelakon lelaki dan wanita terbaik.

Golden Awards merupakan majlis yang diadakan setiap tahun untuk memberi pengiktirafan kepada artis tempatan termasuk pengacara dan pembaca berita dalam rancangan bahasa Cina yang mempunyai prestasi cemerlang.

Guang Ming Daily bagaimanapun melaporkan Golden Awards 2017 seakan-akan ‘tersasul fokus” dengan kemunculan Datuk Seri Vida.

Menurut akhbar itu, Golden Awards 2017 adalah edisi yang mempunyai “unsur pengiklanan terhebat dalam sejarah”.

Selain muncul di kaca televisyen dari semasa ke semasa, Datuk Seri Vida juga menghabiskan sekurang-kurangnya satu minit untuk mencerita pengalaman dan produknya.

Ia berlaku ketika selebriti dunia kosmetik itu menyampaikan hadiah pelakon lelaki terbaik kepada pemenangnya, Jordan Voon.

Datuk Seri Vida yang mempamerkan kehebatan bertutur dalam Mandarin telah berjaya mencuri segala tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada artis.

Karena Teo muncul sebagai pelakon wanita terbaik dalam majlis yang diadakan di Shah Alam pada Sabtu itu. – MalaysiaGazette