Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SERDANG – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar enggan mengulas berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengekalkan tiga anggota Exco dari Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya belum baca surat khabar lagi (mengenai titah Sultan). Saya tak boleh komen,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas perasmian sambutan perayaan Hari Guru peringkat Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, tiga Exco kerajaan Selangor dari Pas itu dikekalkan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat oleh Sultan Selangor selepas meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta memelihara kepentingan rakyat.

Menurutnya, ia hasil daripada pertemuan baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang berhasrat mahu mengekalkan ketiga-tiga exco berkenaan sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

Baginda juga kata beliau, telah menerima mengadap Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri (DUN) Sabak bersama tiga ahli Exco berkenaan untuk mengetahui pendirian dan kedudukan mereka dalam MMKN. – MalaysiaGazette