Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Tiga anggota Exco Pas Selangor menjunjung kasih di atas limpah perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kedudukan mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri dikekalkan sebagaimana dihasratkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan kepada media semalam memberitahu, mereka bertiga yakin dengan limpah perkenan itu akan dapat menamatkan sebarang spekulasi negatif terhadap kedudukan mereka.

“Kami sebagai anggota Exco akan terus mendukung dan menyokong kepimpinan Dato’ Menteri Besar dan dasar-dasar bersama kerajaan negeri demi kestabilan dan kepentingan rakyat negeri Selangor,” kata kenyataan itu.

Menurut mereka, mandat rakyat yang telah diperolehi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 mesti dihormati dan segala janji hendaklah ditunaikan.

Mereka turut berjanji akan menumpukan seluruh tenaga kepada usaha untuk memberi pembelaan kepada rakyat dan membangunkan negeri.

“Keharmonian yang wujud di kalangan rakyat negeri Selangor hendaklah dipertahankan selaras dengan budaya politik matang dan sederhana yang diamalkan oleh Pas,” kata kenyataan itu.

Semalam media melaporkan, tiga Exco itu dikekalkan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat oleh Sultan Selangor selepas meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta memelihara kepentingan rakyat.

Menurutnya, ia hasil daripada pertemuan baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang berhasrat mahu mengekalkan ketiga-tiga exco berkenaan sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

Baginda juga kata beliau, telah menerima mengadap Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri (DUN) Sabak bersama tiga ahli Exco berkenaan untuk mengetahui pendirian dan kedudukan mereka dalam MMKN. – MalaysiaGazette