Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SHAH ALAM – UMNO Bahagian Tanjung Karang menggerakkan tiga sayap parti itu untuk mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

Ketua Bahagian, Tan Sri Noh Omar berkata, antara aktiviti yang telah dijadualkan mulai petang ini ialah berbuka puasa bersama penduduk setempat termasuk nelayan dan petani dalam Parlimen Tanjung Karang.

Katanya, program bermula dengan majlis berbuka puasa, solat sunat Tarawih dan moreh.

“Sepanjang Ramadan ini kita telah susun jadual kerja bagi tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita mengadakan program keagamaan setiap Sabtu dan Ahad di masjid serta surau, Pergerakan Pemuda pula menguruskan program berbuka puasa dan solat Tarawih, manakala Puteri mengurus program memasak bubur lambuk.

“Program Ramadan dalam kawasan Tanjung Karang ini bermula malam ini dengan majlis berbuka puasa,” katanya di sini, semalam.

Menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, selain masyarakat setempat, program Ramadan itu juga turut melibatkan pelajar tahfiz, golongan nelayan dan petani di sekitar kawasan seliaannya.

“Kita sudah susun program kita melibatkan semua sayap UMNO di Tanjung Karang termasuk mengadakan juga program melibatkan masyarakat luar seperti melancarkan program Skuad Bomba Tahfiz yang akan diadakan di Masjid Batu 10.

“Kemudian kita akan bersama dengan nelayan dan petani pada majis berbuka puasa. Program ini biasa yang kita buat setiap tahunm” katanya.

Kata Noh, Sultan Selangor bakal mencemar duli ke Masjid Kampung Razali untuk majlis berbuka puasa bersama rakyat dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette