Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR –  Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia mempertikaikan tindakan kerajaan yang meminta ibu bapa tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Timbalan Presidennya, Wu Zhi Liang berkata, terdapat kira-kira 1,000 hingga 2,000 ‘bas sekolah tua’ yang digunakan lebih daripada 20 tahun dan tidak didaftarkan dengan SPAD kerana kerajaan tidak mahu melanjutkan ‘umur persaraan’ bas tersebut kepada 30 tahun.
Katanya, walaupun tidak berdaftar, bas sekolah tersebut tetap menerima perlindungan insurans, mempunyai cukai jalan serta dikendalikan pemandu yang berpengalaman.
Daripada mengambil tindakan ke atas ‘bas sekolah tua’, Zhi Liang juga mencadangkan kerajaan supaya mengatasi masalah ‘bas persendirian’ dan ‘bas pusat tuisyen’ yang beroperasi tanpa lesen.
Katanya, walaupun kereta persendirian menggunakan alasan ‘menumpang murid’, tetapi pemilik kenderaan berkenaan tetap mengutip bayaran daripada ibu bapa, yakni tidak berlainan dengan bas sekolah.
“Selain itu ada juga van daripada pusat asuhan dan pusat tuisyen yang merampas mata pencarian bas sekolah,” katanya kepada China Press.
Katanya, pengusaha bas sekolah berdepan pelbagai kekangan termasuk kesukaran untuk membeli bas baharu, kehilangan sumber murid di kawasan tertentu serta karenah birokrasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang tidak berdaftar dengan SPAD kerana ia mungkin tidak dilindungi insurans atau dikendalikan oleh pengusaha yang tidak berpengalaman.