KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 55 tahun hampir menjadi mangsa penipuan sindiket yang mendaftarkan kad kredit menggunakan nama orang lain, namun tindakan pantas dan cepat menghubungi pihak bank berjaya menyelamatkan dirinya.

Chen Mook Sin pada 10 Mei lalu menerima satu pesanan khidmat ringkas (SMS) yang memberitahu kad kredit AEON Visa yang konon miliknya sudah digunakan dalam satu transaksi di PL Goldsmith, Sarawak.

Mook Sin terkejut selepas menerima SMS tersebut kerana beliau tidak pernah memiliki kad kredit AEON dan juga tidak menetap di Sarawak sebaliknya tinggal di Cheras.

“SMS itu memberitahu kad AEON milik saya digunakan sebanyak RM4299 di PL Goldsmith, Sarawak,” katanya semasa sidang media di Menara PGRM, Cheras hari ini.

Sangsi dengan SMS tersebut, Mook Sin kemudiaan menghubungi nombor di dalam SMS tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai transaksi yang konon dilakukannya dan lebih mengejutkan beliau diberitahu jumlah yang sudah digunakan sebenarnya sudah mencecah RM7997.

Individu yang kononnya wakil daripada AEON itu juga memberitahu Mook Sin bahawa kad kreditnya itu didaftarkan pada 2 Mac 2017 di AEON Mall, Central Park, Sarawak.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan dalam telefon dengan pihak AEON itu, Mook Sin kemudiaan bertindak untuk pergi ke pejabat AEON di Taman Maluri untuk membuat pertanyaan.

“Saya dimaklumkan bahawa kad tersebut telah didaftarkan tetapi tidak berjaya dan tiada sebarang penggunaan terhadap kad tersebut,” katanya.

Pihak AEON juga memaklumkan kepadanya butir-butir peribadinya telah digunakan untuk mendaftar kad tersebut.

“Saya lega selepas mendapat pengesahan sendiri daripada pihak AEON selepas pergi ke pejabat mereka di Maluri,” kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon, selaku wakil yang menerima aduan Mook Sin semasa sidang media berkata, ini bukan kes pertama mereka terima.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak berwajib menerusi panggilan hotline dan bukan dengan menggunakan nombor yang diberi dalam SMS.

“Jika boleh, mana-mana mereka yang berdepan situasi sama digesa segera ke Bank Negara dan semak sama ada pernah memohon untuk membuat kad kredit atau tidak,” katanya.

Jelasnya, penipuan seperti ini menggunakan modus operandi sama yang dikenali sebagai “Macau Scam” di mana seseorang itu akan ditipu dengan dipaksa memasukkan wang untuk membayar hutang ke satu akaun yang tidak dikenali.

“Macau Scam ini mereka akan gunakan kaedah untuk menakut-nakutkan orang. Selepas takut, orang tersebut akan diugut dan ditipu dengan dipaksa masuk wang ke dalam akaun mereka,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Gerakan, Mak Kah Kong berkata, sindiket penipuan tersebut sudah berkali-kali ditahan pihak berkuasa tetapi atas faktor tertentu mereka sering terlepas daripada hukuman.

“Biasanya, walaupun ramai ditangkap tetapi ramai yang masih terlepas,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Pada 29 jan 2018 sy telah dihubungi pihak cimb berkenaan transaksi sebanyak 4000 melalui cimb gold kredit kad.sy tidak pernah memohon mana2 kad kredit dan tidak mempunyai akaun cimb seperti yg di maklomkan pihak hq cimb.skang pihak bank ada memberi tahu ada hutang kad kredit belom dijelaskan sblom ini.apakah tindakan yg perlu sy lakukan secepat mungkin supaya sy tidak dipertanggungjawabkan ttg penipuan ini.

Comments are closed.