Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPURSusulan penggantungan tugas Datuk Zakaria Arshad dari Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), hari ini Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak Tan Isa Samad bercuti daripada tugasnya serta-merta.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan itu seiring dengan tindakan Isa semalam yang mengarahkan Zakaria bercuti serta-merta sementara siasatan dijalankan.

“Saya juga ingin mencadangkan, Tan Isa Samad juga harus bercuti sepanjang penyaiasatan ini dibuat. Mesti kedua-dua pihak, Datuk Zakaria bercuti, Tan Sri Isa Samad juga wajar bercuti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan terkini Isa yang mengarahkan CEO dan presiden FGV itu bercuti daripada jawatannya, berkuatkuasa serta-merta, semalam.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Zakaria sedang disiasat berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Zakaria juga dilaporkan diarah untuk meletakkan jawatannya kerana beliau telah melanggar amalan korporat dengan membenarkan pembelian oleh pihak Safitex tanpa surat kredit, menyebabkan penangguhan bayaran.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sekiranya Isa enggan bercuti dengan sukarela, Lembaga Pengarah FGV sewajarnya mengarahkan beliau berbuat demikian.

“Lembaga Pengarah Felda ataupun pihak berkepentingan terbesar dalam FGV iaitu Felda, sewajarnya mengambil alih pengurusan buat sementara waktu,

“Bila jadi macam ini, elok juga Tan Sri Isa secara sukarela undur diri ataupun bercuti secara rasmi ataupun BOD buat keputusan memberi Tan Sri Isa bercuti,” katanya.

Susulan masalah FGV itu, Ibrahim menggesa kerajaan menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat kepincangan pengurusan FGV daripada terus merugikan pelaburan peneroka Felda sejak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

“Mesti diwujudkan satu pasukan khas (task force) yang melibatkan Felda sendiri bukan saja menyiasat apa yang berlaku tetapi untuk mengambil tindakan drastik untuk menyelamatkan FGV,” katanya. – MalaysiaGazette