Reaksi ceria Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib yang juga Perdana Menteri tiba di perkarangan PWTC jam 3.30 petang ditemani Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, pemimpin sayap UMNO, Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mesyuarat yang bermula pada kira-kira pukul 4 petang itu dijangka membincangkan isu semasa dan usaha penambahbaikan parti.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat, Najib terlebih dahulu menyerahkan hadiah cabutan bertuah sempena ulangtahun ke- 71 parti itu baru-baru ini.

Seramai 16 ahli UMNO diangkat sebagai pemenang antaranya memenangi sebuah kereta Proton dan motosikal keluaran Modenas.

Ahli UMNO, Saifuldhari Abu Bakar diumumkan sebagai penerima hadiah utama cabutan bertuah yang membawa pulang Proton Perdana 2.4L. – MalaysiaGazette.