Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menggesa semua pihak untuk mengambil tempoh bertenang bagi mengelakkan kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Sohaimi ketika ditemui berkata pihaknya yakin ‘perbalahan’ antara Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan Presiden FGV, Datuk Zakaria Arshad akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya menyeru pihak media dan rakyat untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak kerana kita tidak mahu berlaku saling tuduh menuduh… kerana kalau kita cuba mengapi-apikan lagi isu ini dikhuatiri akan member kesan buruk dan ‘mencedera-parahkan’ Felda.

“Tokoh atau pemimpin itu boleh datang atau pergi sahaja tapi Felda itu satu institusi yang perlu dipelihara dan dijaga kerana yang bersalah atau tidak bersalah akan diketahui (selepas siasatan dilakukan).

“Jadi ada lebih baik ketika ini semua pihak ambil tempoh bertenang, jangan melatah atau terlalu cepat menghukum kerana saya yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya sejurus selepas majlis berbuka puasa bersama pihak media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sohaimi turut menggesa agar semua pihak menunggu hasil siasatan yang dijalankan dan berhenti untuk menjadi ‘tukang cucuk’ bagi mengeruhkan keadaan.

“Saya difahamkan SPRM telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyiasat laporan dan beberapa orang kakitangan peringkat tertinggi Felda malah Tan Sri Isa sendiri telah mengeluarkan kenyataan balas mengenainya.

“Oleh itu pada saya adalah lebih kita mendengar hasil siasatan berbanding membuat sebarang kenyataan bersifat andaian atau menjadi ‘nasi tambah’ atau tukang cucuk (untuk mengeruhkan keadaan) dengan pelbagai spekulasi.

Isa pada Selasa lalu mengumumkan Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Zakaria kemudianya tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV serta diminta untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

Sepasukan pegawai dan anggota SPRM turut dilaporkan mengambil masa selama lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV itu kelmarin. – MalaysiaGazette