Antara mercun yang dijual secara haram.
KUALA LUMPUR – Walaupun permainan mercun tidak terhad kepada kaum tertentu, tetapi kemalangan melibatkan permainan melanggar undang-undang itu lebih cenderung berlaku dalam kalangan anak Melayu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, keadaan itu berlaku kerana anak Melayu lebih ‘kreatif’ dalam permainan mercun dan ‘kreativiti’ berkenaan selalunya berakhir dengan tragedi.
Katanya, walaupun anak Cina juga bermain mercun semasa perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi kes kebakaran yang diterima tidaklah sebanyak semasa perayaan Aidilfitri.
Menurutnya, kebakaran selalu berlaku apabila anak Melayu menggunakan ‘kaedah unik’ dalam permainan mercun termasuk meletupkan mercun dalam tin.
“Untuk mengelakkan kebakaran, cara terbaiknya ialah tidak bermain mercun,” katanya seperti dipetik China Press.
Dalam perkembangan berkaitan, Polis Shah Alam telah berjaya merampas mercun bernilai RM60,000 di tiga buah rumah kediaman di Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Tiga buah rumah itu dipercayai disewa oleh sindiket sebagai gudang mercun dan bunga api sebelum menunggu masa untuk menjualkannya sempena dengan musim perayaan Aidilfitri.
Seorang suspek keturunan Melayu berumur 29 tahun yang menjual bunga api dan mercun telah ditahan. – MalaysiaGazette