Daripada senarai sembilan Ketua Bahagian UMNO yang menang tanpa bertanding, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendahului senarai apabila tidak dicabar di Bahagian Kepala Batas.
Daripada senarai sembilan Ketua Bahagian UMNO yang menang tanpa bertanding, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendahului senarai apabila tidak dicabar di Bahagian Kepala Batas.

PULAU PINANG – Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berhubung isu kontrak pengendali kantin Politeknik Seberang Perai (SPS) di sini disifatkan satu bentuk hasutan yang boleh mewujudkan salah faham dan ketegangan antara kaum serta agama.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Dr. Ramasamy tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk mengemis laba politik dengan cubaan meniup sentimen kemarahan kaum India yang beragama Hindu terhadap Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, sebagai seorang Exco kerajaan negeri, Dr. Ramasamy seharusnya lebih bertanggungjawab dan boleh menghubungi pihak pengurusan PSP secara rasmi untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, beliau tidak sepatutnya memanggil sidang media dan membuat pelbagai tuduhan liar dan tidak berasas terhadap beberapa individu serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap PSP.

“Dr. Ramasamy yang juga bekas seorang pensyarah telah bertindak dengan cara sangat tidak professional dalam isu ini. Beliau hanya mendengar cerita sebelah pihak dan terus membuat kesimpulan sendiri.

“Suka saya ingatkan Dr. Ramasamy supaya tidak bermain dengan api perkauman yang boleh mengancam keselamatan dan mengganggu-gugat keharmonian serta kestabilan hubungan antara kaum dan agama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam dalam sidang akhbarnya, Dr. Ramasamy seperti dilaporkan portal berita didakwa mengaitkan kegagalan seorang kontraktor makanan kaum India mendapatkan tender kantin di PSP dengan `dasar pro-Melayu terang-terangan’ Kerajaan Persekutuan

Menurut Dr. Ramasamy, di sebalik penafian yang dibuat pelbagai pihak, ramai bukan Melayu masih percaya kontraktor itu merupakan mangsa diskriminasi kaum dan agama.

Isu itu bermula selepas permohonan seorang pengusaha makanan India, G. Gopi Krishnan untuk mendapatkan satu ruang gerai dalam kontrak menyewa dan mengurus kantin di PSP tidak berjaya.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, beliau sendiri mengambil inisiatif menghubungi pihak pentadbiran PSP dan dimaklumkan kontrak semasa mengendalikan gerai-gerai makanan di kantin PSP berakhir hari ini.

Menurutnya, selain Gopi Krishnan, kontrak enam pengendali makanan yang lain juga berakhir hari ini sekali gus tidak timbul isu kontrak pengusaha makanan India berkenaan ditamatkan PSP kerana merupakan bukan Islam.

“Jawatankuasa Sebut Harga PSP yang membuat penilaian menolak sebut harga empat penender termasuk tiga pengusaha Melayu kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam borang.

“Sebut harga Gopi Krishnan ditolak kerana syarikat beliau tidak mempunyai Kod Bidang 040103 Makanan Bermasak Islam yang dinyatakan sebagai syarat utama kelayakan untuk sebut harga pengendali makanan di PSP,” katanya. – MalaysiaGazette