Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam bergambar kenangan sambil diiringi Presiden MIFA, Datuk T.Mohan (tengah) dan Pengarah teknikal pasukan MIFA, Devan E. Kuppusamy (dua kiri) pada Majlis Pengenalan Pemain Baharu Pasukan Bola Sepak MIFA di SkyPark One City, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 JUN 2017
SUBANG – Pasukan MISC-MIFA akan memberi fokus untuk terus kekal dalam saingan Liga Perdana Malaysia musim depan, kata Presidennya Datuk T. Mohan.
Beliau berkata, pihaknya membuat rombakan pasukan dengan membawa Datuk K. Devan sebagai Pengarah Teknikal pasukan untuk memberi transformasi dan semangat juang baharu dalam MIFA untuk bangkit semula dalam saingan liga perdana tempatan.
Katanya, beliau yakin pengalaman luas Devan yang pernah membimbing dan menjulang kejuaraan bersama pasukan negeri sebelum ini akan membantu MIFA untuk mempamerkan aksi terbaik dan terus berada dalam saingan liga.
“Kami tidak meletakkan sasaran bercita-cita tinggi, tetapi hanya mahu terus kekal dalam liga perdana tahun depan.
“Devan sebagai bekas jurulatih The Red Warriors, Felda United FC, Selangor dan juga Melaka pernah menjulang beberapa kejuaraan utama dalam kanca liga domestik.
“Sentuhan ajaib orang berpengalaman luas seperti beliau sudah pasti diperlukan oleh pendatang baharu seperti MIFA untuk membantu pengaturan strategi taktikal pasukan untuk bangkit semula ” ujarnya lagi sambil mengharapkan kerjasama erat antara beliau pengurus pasukan Sam Munusamy.
Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain baharu, K. Devan pula berkata, beliau melaksanakan rombakan besar-besaran dalam kesebelasan utama pasukan itu.
Katanya, untuk itu, pasukan telah membeli tujuh pemain baharu termasuk tiga import untuk memperkuatkan keseluruhan pasukan bagi menghadapi baki 9 perlawanan di pusingan kedua dalam saingan liga perdana.
“Saya rasa itu sasaran realistik dan kami yakin boleh terus kekal dalam liga perdana dengan perlu mengharungi lima perlawanan di gelanggang sendiri dan empat di tempat lawan.
“Kami mengharapkan mengutip mata penuh dalam lima perlawanan ‘home’ yang akan membantu survival dalam liga perdana,” katanya kepada pemberita di Majlis Memperkenalkan tujuh pemain baharu yang dibeli MIFA di One City SkyPark, Subang Jaya.
Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam selaku Penasihat MIFA, Presiden MIFA, Datuk T. Mohan mempengerusikan sidang media itu di Pejabat Utama MIFA.
Tujuh pemain baharu itu ialah Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, 23, sebagai penyerang dari Liga Super Kelantan,Pemain tengah dari LIga Super Kelantan, Muhamad Shahrul Hakim Rahim, 22, Ezad Ariff Jamaluddin, 22 penjaga gol dari pasukan Negeri Sembilan, Darshen Ganesan Pillay, penyerang berusia 23 tahun dari pasukan Mega Murni FC.
Manakala tiga pemain import adalah pemain bek tengah, Jaepil Shin, 35 dari Korea Selatan, Penyerang tengah dari Brazil, Luiz Eduardo Purcino, 29 dan Kpah Sean Sherman, 25, penyerang dari Liberia.
Pasukan MIFA kini menduduki tangga ke 10 dan berdepan bahawa penyingkiran dan memerlukan tindakan segera untuk bangkit daripada prestasi merudum itu.
K. Devan yang juga bekas jurulatih Johor FC menjelaskan bahawa kelemahan pasukannya di bek pertahanan sehingga membolos gol banyak dari pasukan lawan dikenalpasti dan perlu diatasi segera.
“Saya tengok dari segi statistik bahawa kita telah membolos banyak gol pada minit awal setiap permainan dan ini yang kami perlu atasi segera.
“Kita sudah mendapat pemain baharu yang mana lima daripadanya akan bersama dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan liga perdana bertemu Kuala Lumpur FC malam esok.
“Pemain bek tengah berpengalaman dari Korea Selatan akan diserap dengan perubahan dalam pertahanan pasukan serta bahagian serangan tengah dan serangan hadapan.
“Jika lihat perlawanan persahabatan pun, MIFA beraksi agak baik dan dengan pemain baharu ini, anda akan melihat satu pasukan yang lebih baik berbanding aksi sebelum ini nanti,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette