YANGON- Seorang petugas tempatan yang berkhidmat dengan sebuah kumpulan bantuan antarabangsa di Myanmar ditikam sehingga mati oleh ‘pengganas’ di Rakhine,  menurut kerajaan negara tersebut.

Utara Rakhine telah dibelenggu krisis keganasan sejak pasukan ketenteraan melancarkan operasi terhadap umat Islam Rohingya sebagai tindak balas kepada kemuncak kemelut sejak Oktober 2016.

Lebih 75,000 Rohingya telah melarikan diri daripada operasi ketenteraan yang disifatkan penyiasat PBB sebagai kejam dan satu jenayah terhadap kemanusiaan.

Walaupun wilayah berkenaan mula stabil sejak akhir-akhir ini namun kerajaan mendapati sekurang-kurangnya 60 kes pembunuhan atau penculikan rakyat awam sejak Oktober lalu dan ianya semakin meningkat beberapa minggu kebelakangan ini.

Semalam, kerajaan berkata, seorang pekerja tempatan di utara Rakhine diheret keluar daripada rumahnya pada 29 Jun lalu sebelum dibunuh oleh kira-kira 10 pengganas yang memakai topeng hitam yang memegang kapak kecil dan pisau.

Mangsa, Nu Islam,34, bekerja dengan Community and Family Services International (CFSI), kumpulan kemanusiaan yang berpangkalan di Filipina.

Organisasi tersebut memberi perkhidmatan pelindungan kanak-kanak dan pendidikan di selatan Rakhine, demikian menurut kenyataan daripada pejabat Aung San Suu Kyi.-MalaysiaGazette