KUALA LUMPUR – Sekarang kita panas membincangkan isu di bawah. Walaubagaimana pun, isu ini perlu dilihat secara rasional & diselesaikan dengan baik.

  1. Isunya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Malaysia bagi pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek Bahasa Malaysia di peringkat SPM. JPA pula telah memberi persetujuan pada 23 Feb 2017.

  1. Alasannya

a. Untuk perlantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan untuk warganegara Malaysia yang telah menjalani persekolahan di luar negara, menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa, Bahasa Malaysia di universiti dan beberapa kategori lain.

b. Mampu mengelak negara hilang kepakaran ratusan graduan perubatan setiap tahun.

c. Dilaporkan bahawa 300 graduan perubatan yang terlibat.

  1. Pihak yang terlibat:

a. Hanya melibatkan pegawai perubatan secara kontrak 2 tahun latihan (housemanship) dan 2 tahun khidmat di perkhidmatan awam.

b. Tetapi kini, jika pegawai perubatan ingin diserapsebagai pegawai perubatan TETAP, mereka MESTI lulus subjek Bahasa Malaysia dalam SPM.

c. Ini adalah penambahbaikan yang dilakukan oleh KKM.Sebelum ini, pegawai perubatan boleh dilantik tanpa syarat perlu lulus Bahasa Malaysia kerana waktu itu negara terpaksa mengimpot doktor warga asing disebabkan negara kekurangan doktor.

  1. Akta-akta

a. Akta Perubatan 1971 memperuntukkan di bawah Seksyen 13 (2) bahawa seseorang graduan perubatan yang diberi Pendaftaran Sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum boleh diberi Pendaftaran Penuh sebagai seorang Pegawai Perubatan yang bertauliah.

b. Seksyen 40 Akta itu juga menetapkan bahawa Pegawai Perubatan perlu juga menjalani khidmat wajib di dalam sektor awam setelah diberi Pendaftaran Penuh.

  1. Sebab bantahan :

a. Ada pihak yang mendakwa kelonggaran syarat lulus Bahasa Malaysia itu seperti mencabar kedudukan, kewibawaan dan keistimewaan bahasa Kebangsaan.

b. Ada juga yang mendakwa akan timbul masalah komunikasi antara pegawai perubatan dan pesakit.

  1. Masalahnya :

a. Jika perlu lulus BM dalam SPM, graduan perubatan tidak boleh hanya mengambil satu subjek BM sahaja.

b. Mereka hanya akan mendapat sijil SPM jika lulus BM dan Sejarah. Mereka harus mengambil 5 mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, dan Pengajian Islam/Moral.

c. Maksudnya, graduan perubatan itu perlu belajar kembali subjek-subjek Sejarah dan 4 subjek di sekolah Menengah. Padahal, tidak ada keperluan untuk graduan perubatan berbuat demikian selain daripada subjek BM.

  1. Cadangan :

a. Pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelulusan Bahasa Malaysia dibenarkan menduduki peperiksaan hanya subjek BM peringkat SPM berbanding 6 subjek.

b. Penulis cadangkan supaya diwujudkan ujian bahasa seperti Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) atau pun Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (TOEFL).

c. Ujian ini boleh dinamakan sebagai Bahasa Malaysia Language Testing System (BMLTS) atau Sistem Ujian Bahasa Malaysia (SUBM)

Sebagai seorang doktor perubatan, penulis mengambil berat tentang permasalahan dan segala polemik yang timbul. Isu ini amat perlu diselesaikan dengan baik dan segera kerana ianya melibatkan tenaga kerja yang amat diperlukan di negara ini.

Dalam masa yang sama, Bahasa Malaysia mesti tetap dipertahankan, bukan sahaja dalam isu ini tetapi juga melibatkan pihak-pihak lain terutamanya pemimpin-pemimpin politik di negara ini.

Kita semua sedia maklum tentang kelemahan ahli-ahli parlimen dan DUN parti DAP yang gagal menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Malah, video-video mereka juga telah tular dalam media sosial serta menjadi bahan lawak rakyat. Mereka ini juga patut ditegur dengan keras.

  • DR NOVANDRI HASSAN BASRIĀ