KUALA LUMPUR -Pelakon veteran, Osman Zailani, 85, yang popular dengan drama PJ Holdings pada tahun 1980an meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) di Singapura, malam tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan oleh cucu Allahyarham, penyanyi Hady Mirza menerusi laman Facebooknya.

“Salam semua. Datuk saya sudah kembali ke Rahmatullah pada jam 9.30 malam tadi di KTPH. Mohon sedekahkan al-Fatihah (kepada Allahyarham Mohammad Kechut aka Osman Zailani),” kata Hady.

Bagaimanapun, Hady tidak menyebut punca kematian datuknya itu.

Jenazah Osman dibawa pulang dari hospital ke kediaman Allahyarham di Yishun dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor esok.

Allahyarham pernah mewarnai industri seni Singapura dan Malaysia menerusi drama dan filem antaranya PJ Holdings, Sesejuk Air Mata Ibu dan Suratan Kasih. – MalaysiaGazette