Shamshun Baharin Mohd. Jamil
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui bahawa penjawat awam yang membuat laporan mengenai gejala rasuah adalah amat sedikit walaupun ganjaran yang setara dengan nilai rasuah telah ditawarkan.
Sejak 2011, hanya terdapat 214 orang penjawat awam yang berani membuat laporan mengenai rasuah dan mereka mewakili hanya 0.01 peratus daripada jumlah pengadu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, kebanyakan penjawat awam masih bimbang akan ancaman dan ugutan yang mungkin perlu didepani selepas membuat laporan.
“Ia membabitkan banyak perkara, mungkin ada yang bimbang mengenai keselamatan sendiri sehingga takut untuk berkongsi maklumat dengan SPRM.
“Namun begitu, pembanterasan rasuah bukan tugas eksklusif SPRM dan kami memerlukan bantuan semua pihak,” katanya kepada China Press.
Untuk aduan membabitkan nilai rasuah RM500 ke atas, penjawat awam yang memberi maklumat akan mendapat ganjaran setara walaupun jumlahnya mencecah puluhan juta ringgit.
Untuk nilai rasuah di bawah RM500 pula, penjawat awam yang mengemukakan aduan boleh menerima ganjaran RM500.
“Walaupun kerajaan menjanjikan ganjaran lumayan, tetapi hanya terdapat kira-kira 200 orang daripada 1.6 juta penjawat awam yang membuat laporan.
Dalam dalam itu, Shamshun Baharin menjangkakan bahawa SPRM akan memecah rekod tangkapan badan pencegah rasuah itu dengan melakukan 1,000 tangkapan pada tahun ini.
Beliau berkata, SPRM telah menahan 501 orang pada enam bulan pertama 2017 dengan lebih daripada separuh individu atau 223 orang yang ditahan adalah penjawat awam.
Katanya, sebanyak 12 orang adalah membabitkan pegawai atasan agensi kerajaan, majoriti daripadanya golongan atasan dari syarikat milik kerajaan.
Walaupun rekod tangkapan SPRM adalah memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya, Shamshun Baharin bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna keadaan rasuah di Malaysia semakin mengeruh.
SPRM melakukan 939 tangkapan sepanjang 2016, 841 (2015), 552 (2014), 509 (2013), 701 (2012), 918 (2011) dan 944 (2010). – MalaysiaGazette