PULAU PINANG – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya Pakatan Rakyat tidak lagi wujud ketika ini menimbulkan persoalan memandangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini juga masih mengekalkan asas Pakatan Rakyat.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, perkara itu sangat jelas apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang masih mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man di blok kerajaan negeri meskipun sudah memutuskan hubungan politik dengan Pas.
Ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Bahagian Kepala Batas, Guan Eng sepatutnya menyedari tindakan mengekalkan Mohd. Salleh secara sendirinya membuktikan beliau masih mengiktiraf Pakatan Rakyat dan membelakangkan Pakatan Harapan.
Sehubungan itu, kata beliau, timbul keraguan daripada kenyataan Guan Eng semalam yang seolah-olah memberi peringatan terhadap Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.
“Tidak dapat dapat dielakkan untuk berpandangan ada sesuatu yang sangat tidak kena dalam Pakatan Harapan pada masa ini.
“Terasa seperti ada satu gerakan atau perancangan antara DAP dan fraksi Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail `membunuh’ karier politik Mohamed Azmin.
“Mungkinkah kerana Mohamed Azmin dilihat sebagai calon paling sesuai yang ada dalam Pakatan Harapan untuk menjadi Perdana Menteri?,” katanya.
Kelmarin Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan negeri itu akan terus ditadbir Pakatan Rakyat meskipun sudah dibubarkan kerana ia mandat yang diberikan rakyat.
Pakatan Rakyat bubar selepas DAP dan Pas memutuskan kerjasama politik pada Julai 2015 dan digantikan dengan Pakatan Harapan yang kini dianggotai parti serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Semetara itu, Azizi berkata, penegasan Mohamed Azmin bahawa Pakatan Rakyat masih wujud di Selangor berkemungkinan kerana PKR masih meneruskan kerjasama dengan Pas di negeri itu meskipun selepas Pas turut memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
Situasi itu, kata beliau, tidak berbeza dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang sekarang selepas Guan Eng masih mengekalkan Mohd. Salleh sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan negeri.
“Guan Eng juga pernah berkata Mohd. Salleh masih sebahagian Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana dia menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Bukankah ini alasan sama yang digunakan Mohamed Azmin dalam mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor?” soalnya. – MalaysiaGazette
















