Akhbar lama antara bahan yang boleh dikitar semula. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Surat khabar lama! Surat Khabar lama!

Surat khabar lama yang dilihat sebagai bahan buangan dan sampah telah mengalami peningkatan harga kerana berlaku penurunan penawaran di pasaran.

Pengurangan jumlah surat khabar yang dikitar semula mempunyai kaitan rapat dengan peredaran ke zaman elektronik apabila orang ramai lebih cenderung mendapat sumber berita melalui media sosial dan semakin kurang orang yang membaca surat khabar.

Selain itu, kesedaran mengenai kitar semula yang masih rendah juga menyebabkan surat khabar lama dibuang begitu sahaja.

“Berbanding 2014, surat khabar lama yang diterima untuk kitar semula telah mengalami penurunan.

“Berlaku kekurangan yang besar untuk memenuhi keperluan untuk surat khabar lama,” kata seorang peniaga barangan kitar semula kepada China Press.

Kata peniaga itu lagi, surat khabar dibeli dengan harga 40 sen sekilogram pada 2014, tetapi harga itu telah melonjak kepada 80 sen sekilogram pada 2017 ekoran persaingan sengit untuk mendapatkan surat khabar lama.

“Saya menjangkakan bahawa harga surat khabar akan mencapai RM1 sekilogram, tetapi ia tidak akan mencecah RM1.30 sekilogram,” katanya.

Selain diproses semula sebagai kertas surat khabar, surat khabar lama juga boleh diproses sebagai papan telur.

Sehingga 50 peratus papan telur yang dihasilkan di Malaysia telah dieksport ke luar negara dan merupakan perniagaan yang menjanjikan peluang pendapatan.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Leh Cheu Peng berkata, kadar kitar semula di Malaysia hanya sekitar 40 peratus berbanding 60 peratus di Hong Kong dan Singapura serta 70 peratus di negara-negara Eropah.

Katanya semua bahan kertas termasuk surat khabar, majalah, tisu dan kotak boleh dikitar semula.

Menurutnya, kertas pembungkus dan kotak makanan yang terkena minyak tidak boleh dikitar semula- MalaysiaGazette