LOS ANGELES – “Tiada idea (no idea).”

Hanya jawapan ringkas diberikan pengurus Manchester United, Jose Mourinho ketika ditanya mengenai perkembangan terkini untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic.

Laporan media sebelum ini mengatakan United dilaporkan bakal memuktamadkan perpindahan Perisic yang anggar bernilai 44 juta pound sterling.

Spekulasi perpindahan itu semakin panas apabila pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan kem latihan Inter Milan pada hujung minggu lalu dan kembali ke Croatia atas alasan peribadi.

Dia hanya melapor diri di padang latihan  bersama rakan sepasukannya pada hari ini sebelum Inter berlepas ke China untuk jelajah pramusim.

Inter tetap dengan pendirian bidaan sebanyak 48 juta pound sterling bersama pemain sayap United, Anthony Martial secara pinjaman sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Namun kedua-dua kelab itu sepatutnya mencapai kata sepakat mengenai nilai perpindahan tersebut dan Inter menukar rancangan mereka dengan mengikat Keita Balde sebagai pengganti Perisic.

Balde meninggalkan kem latihan di Lazio untuk melengkapkan perpindahannya ke Inter Milan.

Perisic yang pernah menyarung jersi Borussia Dortmund dan Wolfsburg itu bakal menjadi pemain ketiga diikat Red Devils pada musim ini selepas Mourinho berbelanja besar terhadap Romelu Lukaku dan Victor Lindelof. – MalaysiaGazette