Anifah Aman

PAPAR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji peranan yang dimainkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di persada antarabangsa sehingga beliau dikenali dan dihormati rakan-rakan sejawatannya di peringkat global.

Ahmad Zahid berkata Anifah, walaupun bersifat merendah diri yang sesuai dengan budaya ketimuran, namun peranannya dalam berdepan isu-isu antarabangsa sebagai Menteri Luar telah membanggakan rakyat dan Malaysia amnya.

“Apabila isu Palestin, beliau (Anifah) bagai ‘seekor harimau’ dari Kimanis,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan secara Berkelompok UMNO Bahagian Zon 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan dekat sini hari ini. UMNO Bahagian Zon 3 meliputi UMNO Bahagian Kimanis, Papar dan Beaufort.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Kimanis yang juga Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Isnin Aliasni yang masing-masing merupakan Ketua UMNO Bahagian Papar dan Beaufort.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Sabah seharusnya berbangga kerana memiliki tokoh di peringkat antarabangsa seperti Anifah yang sudah tentu begitu sibuk berada di luar negara kerana bertugas sehingga kekerapan beliau turun bertemu rakyat tidak boleh disamakan dengan pemimpin politik lain.

Walaupun begitu, katanya, Anifah tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anggota Parlimen Kimanis sebaliknya sering ‘berbisik’ kepada beliau (Ahmad Zahid) agar turut memberi perhatian kepada pembangunan Kimanis.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa beliau akan meneruskan program lawatan sekali dalam dua minggu ke Sabah yang ditangguh seketika pada bulan puasa lalu sebagai usaha memberi semangat dan sokongan kepada UMNO dan BN Sabah.

Ahmad Zahid juga mengumumkan peruntukan masing-masing RM1juta untuk kawasan Parlimen Kimanis, Papar dan Beaufort serta pemasangan pendingin hawa untuk Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan pada majlis itu . – BERNAMA