Presiden Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah. foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2017

GOMBAK – Menteri Besar Incorporated (MBI) di bawah seliaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa membayar sejumlah RM16 juta kepada kontraktor yang sudah ditamatkan kontraknya oleh Universiti Selangor (Unisel), dedah Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (Impak).

Pengerusi Impak, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah berkata, pembayaran tersebut dibuat walaupun mahkamah sudah mengeluarkan perintah pembatalan kontrak dengan kontraktor, Jana Niaga.

“Kami memperolehi satu set dokumen yang menyatakan MBI telah membuat bayaran kepada satu kontraktor di Unisel berjumlah tidak kurang daripada RM16 juta.

“Jana Niaga sebuah kontraktor yang berkhidmat dengan Unisel telah ditamatkan kontrak dan keputusan mahkamah telah memihak kepada Unisel. Sudah tentu terdapat fakta yang sangat kukuh dan jelas mengenai kegagalan kontraktor Jana Niaga,” kata Zul Azhari pada sidang media di pejabatnya di Batu Caves, Gombak hari ini.

Menurut Zul Azhari, pembayaran RM16 juta tersebut dibuat sebanyak dua kali iaitu 9 Mac 2015 dan 24 Jun 2016 lalu tanpa pengetahuan Unisel, malah Jana Niaga juga diberikan keistimewaan untuk meneruskan kerja di Unisel.

“Malangnya kontraktor yang gagal ini telah ‘berunding’ dengan MBI dan telah mendapat bayaran RM16 juta di mana sebahagiannya tanpa pengetahuan Unise, malah telah diberi keistimewaan untuk meneruskan kerja-kerja di Unisel.

“Lebih menarik lagi MBI yang membuat pembayaran kepada Jana Niaga telah meletakkan jumlah duit yang dibayar itu sebagai hutang yang perlu dilunaskan oleh Unisel,” katanya lagi.

Zul Azhari juga mempersoalkan tindakan pembayaran tersebut yang menyebabkan Unisel kini terpaksa menanggung hutang kepada Jana Niaga walhal keputusan mahkamah sudah memihak kepada mereka.

“Unisel telah menang kes di mahkamah ke atas Jana Niaga tetapi MBI pula bayar kepada Jana Niaga dan kini Unisel pula berhutang,” katanya.

Susulan isu tersebut, Zul Azhari meminta penjelasan Azmin berhubung kewajaran MBI membuat pembayaran tersebut dan tidak menolak menimbang mengambil tindakan undang-undang.

“Impak meminta dan mendesak penjelasan Azmin dalam perkara ini dan IMPAK sedang meniliti beberapa tindakan lain bagi perkara ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya.

Menurut Zul Azhari, mereka menerima dokumen setelabl 18 muka surat berhubung pembayaran MBI itu menerusi pos daripada individu tidak dikenali.

Dokumen tersebut mendedahkan invois pembayaran dibuat oleh MBI kepada Jana Niaga serta beberapa bukti lain. – MalaysiaGazette