Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN Pulau Pinang, Hng Chee Wey (tengah) dan barisan Ketua Pemuda parti-parti kompone BN menunjukkan memorandum dan trofi anugerah sebagai simbolik kepada `anugerah palsu' yang diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pulau Pinang pagi ini.

PULAU PINANG – Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mendedahkan jumlah bayaran sebenar yang dibuat dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini berhubung dakwaan menerima `anugerah palsu’ daripada Europe Bussiness Assembly (EBA).

Ketua Pemudanya, Hng Chee Wey berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga perlu menjelaskan sumber kewangan itu memandangkan anugerah tersebut diterima di Switzerland dan Itali sekali gus membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

Menurut beliau, dakwaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima anugerah palsu memalukan dan mencemar imej penduduk negeri ini.

Malah, beliau juga bimbang pendedahan anugerah itu yang boleh dibeli dengan kos tertentu akan menyebabkan pelabur asing hilang kepercayaan kepada ketelusan dan kredibiliti kerajaan negeri khususnya membabitkan kedua-dua PBT berkenaan.

“Sehubungan itu, kita mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menubuhkan jawatankuasa bebas menyiasat dakwaan dua PBT di negeri ini `membeli’ anugerah palsu berkenaan.

“Apakah ada anugerah-anugerah lain yang diterima kedua-dua PBT berkenaan sebelum ini yang turut turut dibeli atau tidak ditentukan ketulenannya?” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai barisan Ketua Pemuda parti BN negeri ini menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif berhubung dakwaan itu di bangunan MBPP di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar Cina mempersoal status anugerah yang diterima MBPP dan MPSP daripada EBA pada 2013 dan 2014 memandangkan terdapat laporan antarabangsa yang mendakwa mana-mana organisasi boleh membeli anugerah daripada badan berkenaan.

Pendedahan itu juga ekoran penjelasan yang dibuat media The Times di United Kingdom (UK) kelmarin yang menafikan EBA mempunyai kaitan dengan Universiti Oxford seperti diiklankan organisasi berkenaan.

Malah, The Times turut mendakwa organisasi itu ditubuhkan ahli perniagaan daripada Ukraine yang menjual anugerah palsu membabitkan keuntungan berjuta-juta pound.

Media itu juga mendakwa EBA secara aktif menjual anugerah tersebut dengan mensasarkan syarikat dan organisasi dari negara dunia ketiga.

MBPP dan MPSP masing-masing menerima anugerah daripada EBA pada 2013 dan 2014.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau akan membuat kenyataan berhubung dakwaan tersebut selepas mendapat laporan penuh mengenainya daripada kedua-dua PBT berkenaan.

“Ketika ini, Datuk Bandar MBPP sedang menghadiri seminar di Manila, Filipina.

“Jadi kita tunggu sehingga beliau pulang dan membuat penjelasan berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini. – MalaysiaGazette