Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang diberi tempoh seminggu untuk memulangkan semula dana awam yang didakwa disalahgunakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) untuk membeli pengiktirafan palsu Europe Business Assembly (EBA).

Presiden Gesakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sekiranya kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng gagal berbuat demikian, pihaknya akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dikhabarkan hampir RM40,000 telah digunakan untuk membeli sijil pengiktirafan tersebut.

“Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sendiri telah membuat pengesahan mengenai status palsu sijil itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, MBPP mengakui membayar yuran penyertaan sebanyak RM39,088.10 bagi menerima anugerah dan pengiktirafan daripada EBA pada 2013 dan 2014.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif, berkata semua pembayaran dilakukan bagi melayakkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dicalonkan dalam anugerah terbabit.

Mengulas lanjut, Zulkarnain juga mencadangkan DAP membuat kutipan derma dalam kalangan ahli parti itu untuk membayar semula wang rakyat yang telah disalahgunakan itu.

“Memandangkan pemimpin DAP sering meminta derma daripada ahli-ahli ahli apabila pimpinannya mempunyai masalah.

“Ini termasuk membayar RM1 juta wang jaminan Ketua Menteri Pulau Pinang itu membabitkan kes rasuah pembelian banglo murah,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan DAP Pulau Pinang itu perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri itu khususnya pembayar cukai di kedua-dua PBT terbabit berhubung kes yang memalukan itu.

“Slogan DAP Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang sering menjadi laungan DAP juga perlu diubah memandangkan ia dilihat sudah tidak relevan lagi dan kelihatan hanya sebagai retorik dan omong kosong.

“Kes itu menjejaskan imej Pulau Pinang di mata dunia. Sekiranya benar MPPP dan MPSP membayar wang kepada EBA untuk mendapatkan anugerah-anugerah tersebut pada 2013 dan 2014 lalu perkara ini langsung tidak boleh dimaafkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.