ZHEJIANG- Seorang pelajar kolej dari Shaanxi ditahan polis selepas didakwa merancang penculikan diri sendiri bagi menguji kasih sayang bapanya.

Pada malam 13 Julai lalu, ahli keluarga seorang pelajar kolej bernama Zhu menerima pesanan melalui platform WeChat memberitahu remaja tersebut telah ‘diculik’.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu itu berhijrah ke sebuah bandar bernama Taizhou di wilayah Zhejiang untuk mencari pekerjaan semasa cuti musim panas.

Dalam salah satu pesanan ringkas tersebut, ‘penculik’ berkenaan meminta wang tebusan sebanyak 100,000 yuan (AS$14,868) dalam tempoh sejam bagi menyelamatkan nyawa Zhu.

Pesanan-pesanan tersebut turut menunjukkan nyawa Zhu dalam bahaya.

Berdasarkan video tersebut, polis berjaya menjejaki hotel berkenaan dan mendapati ‘penculik-penculik’ tersebut telah mendaftar masuk sebelum kejadian culik berlaku dan masih belum mendaftar keluar semasa polis membuat serbuan.

Pihak polis pada mulanya mengesyaki Zhu telah dipindahkan oleh ‘penculik’ ke sebuah lokasi lain kerana tidak menjawab panggilan telefon manakala bilik tersebut dipenuhi dengan puntung rokok, baju dan tumpahan air.

Bagaimanapun pada jam 7.39 malam, Zhu pulang ke hotel dalam keadaan sihat dan selamat dan mengejutkan anggota-anggota polis berkenaan dengan mengatakan insiden penculikannya adalah satu jenaka.

Menurut laporan, tidak lama selepas tiba di Taizhou, Zhu telah menghabiskan kesemua wangnya namun masih gagal mencari pekerjaan.

Dia mendakwa tidak merasai kasih sayang seorang bapa sejak kecil dan merancang penculikan dirinya sendiri dengan dua individu lain bagi menguji sama ada ibu bapanya benar-benar peduli.

Disebabkan kejadian tersebut, nenek Zhu dimasukkan ke hospital kerana terlalu terkejut dengan berita cucunya telah diculik.

Zhu bersama dua lagi ‘penculik’ dituduh atas dakwaan memeras ugut dan telah ditahan di balai polis Taizhou. – MalaysiaGazette