Rex Tillerson

WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat bukan mahu melakukan perubahan rejim di Korea Utara, kata Rex Tillerson.

“Kami bukan musuh anda,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat sambil menambah negara itu mahu dialog pada satu ketika.

Tetapi seorang senator Republik mengatakan Presiden Donald Trump telah memaklumkan kepadanya Amerika Syarikat akan berperang dengan Korea Utara jika program peluru berpandu diteruskan.

Pyongyang mendakwa pelancaran peluru berpandunya mampu membedil pantai barat Amerika Syarikat.

Ujian kedua peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada Jumaat lalu dipantau oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, meskipun ia bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami tidak mencari perubahan rejim, kami tidak mencari kejatuhan rejim itu, kami tidak meminta penyatuan semula semenanjung, kami tidak meminta alasan untuk menghantar tentera kami ke utara.

“Kami bukan musuh anda, kami bukan ancaman anda tetapi anda menyampaikan ancaman yang tidak boleh diterima kepada kami dan kami perlu bertindak balas,” kata Tillerson. – MalaysiaGazette