KOTA BHARU – Kesemua ahli PKR yang memegang jawatan dalam Kerajaan Pas Kelantan atas kapasiti politik telah ingkar arahan pucuk pimpinan parti itu supaya melepaskan jawatan mereka selewat-lewatnya penghujung bulan lalu.
Sehingga hari ini, tidak ada seorang pun daripada 75 ahli PKR yang memegang jawatan tersebut meletakkan jawatan biarpun tempoh kelonggaran yang diberikan oleh presiden mereka, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail telah berakhir.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, wakil PKR terbabit mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa mereka telah ingkar arahan tersebut.
Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan tetap berpegang kepada pendirian mereka sebelum ini untuk terus memberikan ruang kepada individu terbabit memegang jawatan masing-masing.
“Paling tidak, kita harap wakil PKR sudi mengekalkan jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.
Pada pertengahan Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan Pas Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta-merta.
Namun pada 9 Jun lalu, kesemua mereka diberikan kelonggaran untuk meletakkan jawatan selewat-lewatnya menjelang akhir Julai lau.
Arahan tersebut dikeluarkan ekoran tindakan Pas memutuskan hubungan dengan PKR kerana PKR telah menjalinkan hubungan dengan DAP dan PPBM. – MalaysiaGazette
















