KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia bagi bulan Jun 2017 meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM136.26 bilion berbanding RM127.38 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi positif itu disokong terutamanya oleh perdagangan dengan China, India, Jepun, Kesatuan Eropah, Asean, Amerika Syarikat, Taiwan dan Korea Selatan.

Eksport Jun 2017 berkembang sebanyak 10 peratus kepada RM73.07 bilion lebih tinggi berbanding import buat bulan kedua berturut-turut.

Import pula tumbuh sebanyak 3.7 peratus kepada RM63.19 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, lebihan dagangan Jun mencapai 236 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan ia merupakan nilai lebihan dagangan tertinggi sejak April 2016.

Berbanding Mei 2017, jumlah keseluruhan perdagangan, eksport dan import adalah lebih rendah masing-masing sebanyak 11.1 peratus, lapan peratus dan 14.5 peratus.

Jumlah keseluruhan perdagangan pada suku kedua 2017 berjumlah RM428.66 berkembang sebanyak 19.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala keseluruhan eksport pada suku tersebut mencecah RM226.36 bilion, 20.6 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lepas.

Import meningkat sebanyak 19.1 peratus kepada RM202.31 bilion. – MalaysiaGazette