Suruhanjaya Pilihan Raya SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan penglibatannya dalam penerbitan sebuah klip video berkaitan kempen daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disifatkan berunsur hasutan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata perkara itu berpunca daripada tindakan produksi terbabit yang menggunakan logo dan alamat laman web SPR pada akhir video, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata SPR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya logo badan berkenaan disalah guna tanpa kebenaran dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan boleh menjejaskan imejnya.

Mohd Hashim Abdullah.

“SPR memberi amaran kepada pihak terbabit agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo badan ini untuk tujuan mana-mana produksi atau kempen tanpa kebenaran daripada badan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya klip video berdurasi 1 minit 40 saat dalam bahasa Mandarin yang tular di media sosial itu membawa kecenderungan berunsur hasutan dan menimbulkan kebencian kepada pihak tertentu melalui kuasa undi mereka.

Mohd Hashim berkata klip video itu turut memaparkan isu-isu yang menjadi kontroversi masa kini seperti 1Malaysia Development Berhad, Malaysian official 1 serta Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Ekoran daripada penyebaran klip video ini, SPR menerima banyak aduan daripada orang ramai, katanya. – Bernama