Olivier Giroud meraikan gol kemenangan Arsenal ketika menentang Leicester awal pagi tadi.

LONDON – Arsenal yang turun pada pada perlawanan pembukaan awal pagi tadi sedar bahawa ia akan berhadapan dengan kesukaran – perlu berhadapan Leicester yang berbelanja besar pada musim panas lalu, dengan penyerang Kelechi Iheanacho yang dibeli daripada Manchester City pada harga £25 juta.

Bagaimanapun, penampilan sulung Alexandre Lacazette untuk Arsenal yang dibeli dari Lyon pada harga £46 juta memberi kesan segera apabila pemain itu menanduk masuk bola pada jarak dekat selepas 94 saat permainan bermula, membolehkan beliau melakar rekod baharu gol paling pantas pada perlawanan pembukkan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, gol pembukaan itu hanya bertahan selama tiga minit apabila Leicester menyamakan kedudukan menerusi Shinji Okazaki yang menewaskan pertahanan Arsenal dalam kotak penalti dengan menanduk bola menewaskan penjaga gol, Petr Cech yang berda jauh daripada posisi.

Okazaki hanya menjaringkan satu gol dalam 25 penampilan untuk Foxes pada musim lalu, gol pada perlawanan liga terakhir.

Arsenal terus memberi tekanan namun seperti biasa apabila serangan tidak menjadi di kawasan lawan, Leicester dengan pantas melakukan serangan balasa menerusi pemain sayap sebelum melakukan hantaran lintang dan pada suatu ketika membuka ruang terbaik untuk Jamie Vardy menjaringkan gol.

Leicester berjaya menghalang beberapa siri serangan Arsenal pada separuh masa pertama, malah hampir menjaringkan dua gol daripada hantaran lintang hasil sepakan percuma yang menyebabkan keadaan kucar-kacir di depan pintu gol pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun Arsenal memperolehi gol kedua menerusi Danny Welbeck di kawasan penalti yang dipenuhi pemain pada minit-minit akhir sebelum rehat.

Pemain Leicester membantah kerana mendakwa gerakan yang dilakukan lawan itu ofsaid, namun tindakan mereka berhenti bermain membolehkan bekas pemain Manchester United yang dilanda masalah kecederaan di Emirates itu tidak dikawal ketika bola menuju ke arahnya.

Dalam tempoh 10 minit permainan disambung semula, Leicester kembali di hadapan, sekali lagi menerusi Vardy yang menanduk bola daripada sepakan sudut di mana tiada pemain Arsenal cuba mengeluarkan bola.

Bagaimanapun, lapan minit sebelum permainan tamat, Arsenal diberikan sepakan sudut, bola berjaya dikeluarkan daripada kotak penalti namun menuju ke Aaron Ramsay. Pemain antarabangsa Wales itu melepaskan ledakan menewaskan Kasper Schmeichel dan dalam tempoh tiga minit, pasukan tuan rumah kembali mendahului.

Arsenal mendapat satu lagi sepakan sudut, kali ini hantaran yang dilakukan tepat kepada pemain simpanan, Olivier Giroud, yang menanduk bola ke arah gol namun terkena palang dan melantun melepasi garisan gol.

Ia merupakan gol ke-26 Giroud menerusi tandukan sejak menyertai Arsenal pada Jun 2012, rekod EPL.

Keputusan tersebut mengimbas kembali perlawanan pembukaan musim lalu yang mana Arsenal kecundang 3-4 di tangan Liverpool.

Leicester sepatutnya berasa gembira melihat pasukan itu mula menjaringkan gol pada musim ini, kini mereka hanya perlu memperkukuhkan barisan pertahanan bagi menghadapi serangan lawan. – Agensi