Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Karnival Inisiatif Peduli Rakyat 2017 di Kampung Baru, Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2017

BATU CAVES – “Sebarang pertimbangan samada pembahagian kerusi ataupun calon akan dibuat secara muafakat dalam Majlis Presiden PH,” demikian kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Azmin Ali.

Kata-kata Menteri Besar Selangor itu membuktikan bahawa Azmin yang menjawat itu tidak mempunyai sebarang kuasa dalam membuat keputusan mengenai pencalonan mana-mana calon.

“Biasanya dalam Pakatan Harapan (PH), kita buat keputusan atas konsensus, bukan secara unilateral.

“Ini proses yang berterusan di mana kita merasakan perlu ada konsensus daripada semua daripada parti pembangkang untuk melihat bagaimana kita dapat menang dalam PRU,” kata Azmin.

Azmin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Inisiatif Peduli Rakyat di Kampung Baru, Batu Caves hari ini.

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis mengumumkan Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi menerajui usaha gabungan itu untuk menawan Putrajaya pada PRU-14.

Malah, Azmin akan turut menyertai Jawatankuasa Pilihan Raya yang dipengerusikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhyiddin Yassin.

Azmin berkata, PKR akan terus menjadi orang tengah kepada Pas dalam isu sama.

“Itu memang peranan PKR sebelum ini untuk melihat apakah bentuk kerjasama yang dibentuk menjelang PRU akan datang,” jawab Azmin.

Bagi rundingan dengan Parti Amanah Negara (PAN), dan PPBM sedang berjalan.

“Kita ada jawatankuasa rundingan pembahagian kerusi dan nampaknya kemajuan positif.

“Kita bukan nak menang sebagai sebuah parti, tapi sebagai satu gabungan atas nama PH. Samada PKR, PPBM, PAN mahupun DAP siapa yang boleh menang di kerusi itu, kita akan berikan sokongan dan akhirnya yang menang adalah gabungan PH bukan individu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.