Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media ekoran dari insiden kekecohan yang berlaku pada Program Nothing To Hide 2.0 di Pejabat Gerakan NGO Malaysia, Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Yunos mendakwa memiliki bukti insiden kekecohan semasa dialog bersama Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dirancang oleh pemimpin tertinggi parti PPBM sendiri.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) itu berkata, beliau sudah mengetahui rancangan untuk mencetuskan kekecohan itu sejak seminggu lalu dan mendakwa ia dilakukan bertujuan untuk memburukkan nama UMNO.

“Kami sudah tahu lebih awal akan berlaku kekecohan selepas sejam Dr Mahathir bercakap, akan berlaku kekecohan, saya dapat maklumat awal rancangan ini.

“Kekecohan ini dirancang oleh Ahli Majlis Tertinggi PPBM untuk buat huru-hara ini,” kata beliau semasa sidang media di pejabatnya Ampang.

Tegas Jamal, kekecohan tersebut dirancang bertujuan untuk menyalahkan UMNO dan mereka akan membuat laporan polis serta menyerahkan bukti berhubung insiden itu kepada pihak polis dalam masa terdekat.

“Mereka sengaja cipta insiden ini untuk menyalahkan UMNO.

“Kami akan buat laporan polis dan serahkan bukti berhubung rancangan mencetuskan kekecohan tersebut,” ujarnya.

Mengenai tuduhan insiden semalam didalangi oleh UMNO, Jamal mencabar mereka untuk menyerahkan bukti dan menafikan terlibat dalam rancangan kekecohan itu.

“Kalau benar, saya minta mereka tunjuk bukti,” ujarnya.

Dalam kejadian semalam, forum anjuran PPBM kecoh apabila hadirin yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.

Kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus apabila individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali ketika beliau menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette