KUALA LUMPUR – Penyanyi, Dayang Nurfaizah Awang Dowty yang menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu tema Sukan SEA Ke-29 (KL2017), Bangkit Bersama pada acara pembukaan malamĀ ini, berazam memberi ‘nyawa’ kepada lagu itu dan berharap ia dapat dijiwai setiap rakyat Malaysia.

Menyifatkan tugas itu peluang sekali seumur hidup, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, Bangkit Bersama bukan sekadar lagu tema, malah juga menjadi suntikan semangat buat rakyat untuk terus memberi sokongan kepada atlet negara yang bertanding dalam temasya kali ini.

“Impian saya hanyalah untuk memberikan yang terbaik dan berharap setiap penonton menjiwai pengisian lagu berkenaan,” katanya.

Hasil sentuhan komposer Datuk Ramli MS, lirik ‘Bangkit Bersama’ adalah gabungan idea rakyat Malaysia yang disumbangkan menerusi medium terbuka iaitu Facebook, Twitter dan Instagram dengan menggunakan #laguKL2017 sejak Mei lalu.

Pelancaran lagu ini juga melengkapkan tiga lagu tema yang dicipta sempena temasya itu iaitu Tunjuk Belang nyanyian monoloQue; Azlan dan maliQue; serta ‘So Many Hands’ dendangan Miq Palencia bagi iklan rasmi temasya edisi ke-29 ini.

Mengakui agak gementar untuk persembahan kali ini, Dayang berkata persembahannya pada upacara pembuka tirai KL2017 itu akan menggunakan ‘minus one’.

Selain membuat latihan suara di rumah, pelantun lagu hits Lelaki Teragung dan Di Pintu Syurga itu sudah mula terbabit dengan ujian bunyi dan raptai sejak minggu lalu untuk memastikan persembahan yang mantap.

Dalam pada itu, berkongsi minat mengenai sukan, Dayang berkata beliau pernah bermain tenis ketika kecil.

“Bapa Dayang pernah melatih budak-budak bermain tenis tapi pada masa itu saya tak ada pun rasa nak main tenis. Kadang-kadang rasa menyesal juga, kalau tak sudah tentu saya pandai bermain sukan itu,” kata penyanyi yang popular dengan irama pop dan R&B itu.

Seperti rakyat lain, penyanyi berusia 36 tahun itu turut meletakkan harapan tinggi kepada wira dan wirawati negara untuk meraih kejayaan cemerlang dalam setiap acara yang disertai.

Dalam pada itu, klip video Bangkit Bersama yang dimuat naik di laman YouTube sejak seminggu lalu sudah ditonton lebih 100,000 kali.

KL2017 akan berlangsung secara rasminya pada hari ini hingga 30 Ogos ini, membabitkan penyertaan kira-kira 5,000 atlet dari 11 negara dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.

Penganjuran temasya sukan dwitahunan itu kali ini menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah buat kali keenam sejak 1965. – MalaysiaGazette