Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya selepas menjuarai acara 100 meter Sukan SEA KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. foto SAFWAN MANSOR, 22 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah, dianugerahkan The BrandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership Award 2017 atas pencapaiannya dalam industri muzik tempatan, malam tadi.

Dayang menerima anugerah dalam kategori terbabit bersama beberapa lagi ikon negara antaranya penerbit dan komposer Datuk Wah Idris; pemain biola, Dr Joanne Yoeh; pemenang acara 100 meter Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan; penerjun, Cheong Jun Hoong dan pemain bowling negara, Shalin Zulkifli.

Dayang menyifatkan anugerah yang diberikan sebagai penghargaan atas kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan kebelakangan ini.

“Sebagai penggiat seni sudah tentu saya berasa bangga dengan anugerah yang diberikan, bersama dengan ikon dalam beberapa bidang lain.

“Penganjur melihat penggiat seni seperti saya juga mampu menyumbang dalam membina jenama sesuai tema majlis tahun ini, Ikon-Signifikan Kehidupan,” katanya.

Kata Dayang, dia difahamkan mereka yang menerima anugerah berprestij itu dinilai menerusi inovatif ditampilkan dalam meletakkan kerjaya ke tahap tertinggi dan membina jenama.

“Penganjur menyatakan mereka yang menerima anugerah dalam setiap kategori dianggap ikon kerana memiliki kekuatan dan berani untuk melangkah jauh,” katanya. – MalaysiaGazette