Pengarah Urusan Malaysia Book Of Records, Tan Sri Danny Ooi (kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong (kiri) pada Paparan Jalur Gemilang terpanjang dalam akuarium di Aquaria, KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Pelbagai cara dibuat bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang ke-60.

Bagi Aquaria KLCC pula meraikan dengan memasang Jalur Gemilang terpanjang dalam akuarium.

Bendera sepanjang 60 meter dan 83 sentimeter lebar dipasang sebagai penghargaan kepada negara.

Menurut Pengarah Urusan Aquaria, Datuk Simon Foong, pemasangan bendera sepanjang itu adalah simbolik kepada 60 tahun usia kemerdekaan negara.

“Selain itu kami juga berbesar hati menyambut ulangtahun ke-12 pembukaan Aquaria,” jelas Simon.

Simon memberitahu, bendera itu diperbuat daripada nilon khas bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan hidupan di dalam akuarium.

“Kami telah menjalankan ujian terhadap warna bagi memastikan tiada kesan toksid daripada bendera ini. Ini bagi memastikan keselamatan ikan dan penyu.

“Ujian keselamatan dibuat dalam tempoh seminggu dan bendera dipasang malam semalam oleh empat penyelam,” beritahu Simon ketika ditemui media.

Paling menarik Aquaria KLCC turut menerima sijil penghargaan dari Malaysia Book of Records atas pengiktirafan Pemasangan Jalur Gemilang Terpanjang Dalam Akuarium.

Sijil disampaikan Pengasas Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.

Jalur Gemilang itu akan berada dalam akuarium tersebut untuk tatapan umum dalam tempoh seminggu. – MalaysiaGazette