Allahyarham Mohd Taib Osman

KUALA LUMPUR –  Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Taib Osman meninggal dunia, jam 9.20 pagi tadi akibat komplikasi buah pinggang.

Anaknya, Aififi, 40, yang dipetik Berita Harian berkata, Allahyarham menderita penyakit itu sejak tujuh tahun lalu dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Prince Court Medical Centre.

Beliau berkata, arwah bapanya dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 17, Petaling Jaya, sejak dua minggu lalu dan menghembus nafas terakhir di samping ahli keluarga.

“Ketika hayatnya, arwah pernah berkhidmat di Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang pengajian Melayu dan kebudayaan Asia Tenggara pada tahun 70-an.

“Allahyarham sebelum itu menerima Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di Universiti Malaya, Singapura sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1959.

“Selepas bersara, arwah aktif menulis menyentuh bidang kesusasteraan, kebudayaan Melayu dan isu nasional menerusi kolum khas Berita Harian,” katanya ketika dihubungi BH.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kota Damansara sebelum solat Asar hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak. – MalaysiaGazette