KUALA LUMPUR – Sebuah gelanggang futsal bersempena nama lagenda bola sepak lagenda Belanda, Johan Cruyff dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di PPR Seri Semarak.
Gelanggang tersebut dibina hasil kerjasama program antara Yayasan Hasanah dengan Yayasan Johan Cruyff yang akan memberikan pengalaman bola sepak kepada masyarakat setempat dan anak-anak muda di kawasan penduduk tersebut.
Gelanggang ini merupakan yang ketiga dibina, sebelum ini ia dibuka di Kampung Melayu Majidee, Johor Bharu pada 2012 dan Cruyff Court di Brickfields pada 2013.
Najib menandatangani plak perasmian gelanggang tersebut dan melawat tapak futsal sebagai simbolik perasmian.
Seramai hampir 3,000 orang ramai hadir bagi bersama meraikan perasmian gelanggang tersebut di samping meluangkan masa sempena Hari Hasanah yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional Berhad itu.
Penganjuran Hari Hasanah ini merupakan kali pertama dan bakal diadakan setiap tahun bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Turut hadir pada majlis perasmian, Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar. – MalaysiaGazette