KUALA LUMPUR – “Tidak ada sebarang perbincangan dengan PKR”, itu tegas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mengulas tentang isu rundingan kerusi antara parti Islam itu dengan PKR.
“Setakat ini, tidak ada sebarang perbincangan dengan PKR. Pas kekal seperti keputusan sebelumnya iaitu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
“Kita akan bertegas dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara,” beliau dipetik berkata.
Terdahulu, Azmin dilihat cuba menggerakkan rundingan antara PKR dan Pas, namun perkara itu menimbulkan kontroversi apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyanggah tindakan Menteri Besar Selangor itu.
Rafizi minggu lalu mengeluarkan kenyataan terbuka mendesak PKR mengadakan satu kongres khas bagi membincangkan kedudukan rundingan kerjasama antara parti itu dengan PKR.
Susulan kenyataan Rafizi itu, Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya minggu lalu menyerang Rafizi dengan menuduh ada pemimpin kanan PKR yang bersekongkol dengan UMNO dan sudah dibeli.
Rafizi tidak mengiakan tuduhan itu tetapi mengaku beliaulah orangnya yang disindir oleh Latheefa dalam kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.
Rafizi juga berkata beliau sudah memaafkan Latheefa atas tuduhan itu. – MalaysiaGazette