Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan Selangor hari ini mengumumkan pembentukan struktur kepimpinan baharunya selepas gabungan pembangkang itu memutuskan kerjasama politik dengan Pas pada akhir Ogos lalu.

Pengerusi baharunya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, struktur baharu itu menampilkan kelainan dengan melibatkan pemimpin wanita pelbagai kaum bagi menjana kekuatan baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pakatan Harapan Selangor menampilkan kepimpinan yang berintegriti dan mewakili semua kaum termasuk kepimpinan wanita.

“Saya yakin perpaduan utuh dalam Pakatan Harapan Selangor akan menjana kekuatan baru menjelang PRU14,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dari DAP mempengerusikan Pakatan Harapan Selangor, bagaimanapun jawatannya itu diambil alih oleh Azmin berkuatkuasa serta-merta dalam satu mesyuarat, pagi tadi.

Bagaimanapun Pua masih diberi tempat sebagai salah seorang daripada Timbalan Pengerusi dan tiga lagi wakil parti pembangkang lain seperti Izham Hashim dari PAN, Datuk Abdul Rashid Asari (PPBM) dan Sivarasa Rasiah (PKR).

Selain itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula diberi tanggungjawab baharu sebagai setiausaha dan dibantu oleh Kamarul Hisham.

Antara jawatan lain dalam struktur baharu itu ialah ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dilantik sebagai bendahari, Datuk Dr. Sukiman Sarmani (ketua penerangan), Dr. Xavier Jayakumar (pengarah pilihan raya), Saari Sungib (pengerusi jawatankuasa manifesto) dan Gobind Singh Deo (pengerusi biro undang-undang).

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan manifesto dan gerak kerja pilihan raya termasuk program-program penerangan.

“Ia akan memberikan pencerahan dan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya berkeyakinan kepimpinan Pakatan Harapan Selangor akan terus maju ke hadapan dengan tekad untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette.