Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.
“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, hari ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.
Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), “Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.”
Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion, katanya.
Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan tersebut, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner merupakan pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.
Perbincangan dengan Trump itu merupakan kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 Sept atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Jan tahun ini.
Najib berkata kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.
“Keduanya, Kami memiliki KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan US$3 bilion hingga US$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira US$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.
— BERNAMA