DUBAI – Pihak berkuasa Dubai menggunakan emoji dalam usaha memperlahankan pemandu kenderaan yang melalui zon kawasan sekolah di bandai ini.

Papan tanda elektronik yang diletakkan berhampiran lima kawasan sekolah sebagai projek percubaan itu akan diperluaskan oleh Pihak Berkuasa Jalan Raya dan Pengangkutan (RTA) pada masa depan bukan hanya menunjukkan kelajuan kenderaan tatapi juga memaparkan emoji.

Ketua Pegawai Eksekutif RTA, Maitha Bin Adai berkata, pelaksanaan papan tanda pintar itu akan berdasarkan jenis jalan raya, bilangan sekolah dan bilangan saman yang telah dikeluarkan.

Kawasan yang dipilih dalam fasa pertama menyaksikan banyak kes memandu melebih had yang dibenarkan, oleh itu papan tanda had kelajuan pintar menunjukkan had kelajuan 40 kilometer sejam diletakkan di sekeliling zon sekolah.

“Melebihi had kelajuan, malah hanya melebihi sedikit sahaja mungkin boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada pelajar,” kata Bin Adai.

Papan tanda tersebut dilengkapi dengan skrin digital yang boleh mengesan dan memaparkan kelajuan selain memaparkan emoji yang menggambarkan keadaan pemandu ketika sesebuah kenderaan melepasi zon sekolah.

Wajah senyuman menyatakan pemandu mematuhi had kelajuan manakala wajah berkerut bermakna pemandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan.

Papan tanda pintar juga memaparkan sama ada teguran, amaran berjaga-jaga atau amaran berdasarkan kelajuan kenderaan.

“Mesej tersendiri menyatakan gambaran pemandu bahawa mesej tersebut sebenarnya dia (pemandu), justeru mewujudkan kesan yang diinginkan secara terus ke atas pemandu,” kata Bin Adai – MalaysiaGazette